CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday 30 March 2012

Unjuran Ortografik


Anda telahpun membina pandangan pelan, pandangan hadapan 
dan pandangan sisi. Pembelajaran kita seterusnya ialah 
menyentuh tentang jenis – jenis unjuran ortografik. Unjuran ortografik 
boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :

i.              Unjuran sudut pertama
ii.      Unjuran sudut ketiga

Unjuran sudut pertama.

Unjuran ini merupakan unjuran yang terawal dan tertua digunakan dalam lukisan kejuruteraan. Lukisan dalam sudut unjuran ini dianggap sebagai unjuran piawai tradisi British dan Eropah untuk kegunaan para arkitek dan jurutera. Satah –satah utama yang terdapat dalam sudut ini mempunyai namanya yang tersendiri, sesuai dengan peranannya.Kesemua satah ini bertemu antara satu dengan lain pada 
sudut tepat. Rajah 1 menunjukkan contoh lukisan bergambar bagi sebuah objek padu. Jika objek ini dilihat dari anak panah A, pandangan yang diperolehi ialah pandangan hadapan. Bentuk bahagian objek yang kelihatan dari pandangan ini diunjurkan kebelakang sehingga mengenai satah menegak hadapan sebagaimana yang ditunjukkan oleh anak panah kecil.

Rajah 1: Lukisan bergambar bagi sebuah objek padu

Pelan bagi objek ini pula diperolehi apabila objek itu dilihat dari atas seperti yang ditunjukkan oleh anak panah B. Bahagian – bahagian yang kelihatan dari pandangan ini akan diunjurkan menegak ke bawah objek sehingga mencecah satah mengufuk sepertimana yang ditunjukkan oleh anak panah kecil. Pandangan sisi objek ini diambil dari arah C ( sebelah kiri objek ). Bentuk objek yang kelihatan dari pandangan ini akan diunjurkan kesebelah kanan objek sehingga 
mengenai satah menegak sisi. Untuk menjadikan lukisan ini sebuah lukisan ortografik, kesemua pandangan tadi akan dibentangkan menjadi satu rataan sahaja. Rajah 2 menunjukkan kedudukan satah yang telah dibuka dan berada 
dalam sudut pertama. Maka lukisan ini dinamakan lukisan ortografik sudut pertama. Setiap gambar rajah hendaklah diberi tajuk agar pembaca tidak keliru.

Rajah 2: Kedudukan satah dalam sudut pertama


Unjuran sudut ketiga.

Unjuran sudut ketiga kadang kala dikenali juga sebagai 
unjuran Amerika. Kini penggunannya telah meluas di serata 
dunia. Dalam lukisan unjuran sudut ketiga, objek yang 
hendak dilukis berada dalam satah sudut ketiga. Satah – satah 
yang berada dalam sudut ini dibayangkan seolah – olah 
diperbuat daripada bahan lutcahaya untuk membolehkan 
objek itu dilihat menembusi satah – satah utamanya dari arah 
anak panah A, B dan C. Ketiga –tiga arah pandangan bagi 
objek ini akan diunjurkan ke hadapan objek sehingga mengenai 
dinding satahnya seperti yang ditunjukkan oleh anak panah kecil, 
seperti dalam rajah 3.

Rajah 3: Tiga pandangan dalam unjuran sudut ketiga


Apabila lipatan pada satah setiap pandangan itu dibuka dan 
dibentangkan menjadi satu rataan sahaja, lukisan ortografik 
sudut ketiga akan terhasil,seperti dalam rajah 4.


Rajah 4: Unjuran sudut ketiga yang dibentangkan